Tuesday 20 November 2012

Dosa Yang Tidak Nampak Pada Pandangan Mata





~ Kabur pada pandangan mata, namun tampak pada kesannya~

Hidup manusia tidak dapat lari dari dosa. Namun bukanlah bagi seseorang itu untuk terus-menerus melakukan maksiat kerana kononya insan tidak dapat lari dari kesalahan. Tetapi, kita sebenarnya disuruh melakukan perubahan ke arah kebaikan dengan cara bertaubat.
Di dalam Islam kaitan dosa dalam kehidupan manusia ada pelbagai rupa. Ada yang melibatkan insan dengan Tuhan. Tidak kurang pula dosa sesama hamba. Namun apa yang saya ingin bekongsi di sini adalah dari sudut lain tentang jenis dosa. Ia apa yang nampak pada pandangan manusia dan lebih berbahaya yang sudah terikat dalam jiwa manusia namun tidak sedar akan kehadirannya.
Syirik
Menyekutukan Allah dengan segala sesuatu. Itulah ungkaian makna yang diberi oleh kebanyakan ulama’.  Sebelum saya menerangkan lebih lanjut tentang bahayanya syirik melalui pembahagiannya, pernahkah kita terfikir dalam sejarah ketamadunan manusia, adakah syirik ini wujud dahulu dalam erti kata manusia tidak mengenali Rabb-nya kecuali selepas datangnya nabi atau sebenarnya tauhid itu itu sememangnya telah tersemat dalam jiwa manusia?
Allah berfirman:
الرَّحْمَنُ (1) عَلَّمَ الْقُرْآنَ (2) خَلَقَ الْإِنْسَانَ (3)
1.(Allah) Yang Maha pengasih   2.Yang telah mengajarkan Al-Quran   3.Dia menciptakan manusia  (Surah Ar-Rahman: 1-3)
Meneliti ayat dalam surah yang banyak menceritakan nikmat syurga tidak kurang juga azab neraka setimpal dengan amalan manusia ini, beberapa manfaat yang boleh kita uraikan dengan menyatakan sebenarnya kewujudan tauhid kepada Allah adalah fitrah. Ini kerana Allah menyatakan bahawa Dia yang mengajarkan Al-Quran yakni panduan keimanan kepada-Nya bagi manusia seterusnya baru dijelaskan tentang penciptaan insan.
Justeru, dapat disimpulkan sebenarnya, keimanan kepada Allah adalah fitrah dalam jiwa manusia. Bukankah juga manusia pernah bersaksikan bahawa Allah satu-satunya tuhan yang ada suatu ketika dahulu? Seperti yang dirakamkan dalam firman-Nya ketika Dia bertanya:
“Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka (manusia) semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai tentang (hakikat tauhid) ini”(Al-A’raf;172)

Sejarah syirik dalam kehidupan manusia
Dakwah nabi Nuh a.s yang jika kita teliti perjuangan baginda, sarat dengan pelbagai cabaran dan dugaan yang terpaksa beliau tempuhi dalam usaha menyebarkan kalimah Allah, dari segi lama tempoh dakwahnya dan natijahnya hanya dalam lingkungan 80 lebih sahaja menyambut seruan beliau. Ia adalah impak daripada peristiwa sebelum perutusan beliau sebagai rasul yang mempunyai umatnya yang menyeliputi  seruannya bukan hanya pada kaum keluarga seperti nabi Adam namun kepada  manusia secara am.
Pada zaman sebelum perutusan nabi Nuh a.s telah ada 5 orang soleh yang merupakan ketua dari setiap suku kaum  yang bertungkus lumus dalam usaha untuk menyeru manusia kembali kepada Allah yang telah dinukilkan nama mereka dalam Al-Quran iaitu wadd, suwa’, yagus, ya’uq dan nasr(Nuh:23).
Setelah beberapa lama mereka meninggal dunia. Bagi mengenang jasa mereka, kaum pada ketika itu mengukir patung peringatan menyerupai ketua-ketua berkenaan. Tujuannya apabila mereka melihat kepada patung-patung tersebut terbit kesedaran dalam kalangan mereka untuk meneruskan kerja-kerja kebaikan yang pernah dilakukakan oleh para solihin tersebut.
Tetapi bersama peredaran zaman fahaman tersebut telah mula terhakis. Hingga sampai pada zaman nabi Nuh a.s, manusia sudah mula taksub dengan patung tersebut hatta ada yang bertindak menyembah mereka. Oleh kerana ketaksuban mereka itu, ramai dalam kalangan kaum nabi Nuh berpaling daripada peringatan baginda. Maka natijahnya seperti yang disebutkan iaitu ramai daripada kaum beliau tidak beriman kepada-Nya termasuklah anak dan isteri baginda sendiri.

Sejarah syirik dalam kalangan masyarakat arab
Diriwayatkan oleh Ibnu Hisham dalam kitab sirahnya bahawa penyembahan berhala ini berlaku apabila seorang arab yang bernama Amru bin Luhai keluar dari kota  Makkah menuju ke Sham untuk beberapa urusannnya. Apabila dia sampai ke sebuah tempat bernama Balqa’ dia bertemu dengan seorang yang bernama A’mliq bin Lawaz bin Sama bin Nuh. Ketika itu A’mliq sedang menyembah berhala dan berkata:
“Berhala ini jika kita sembahnya dia akan memberikan kita rezeki”.
Akibat terpedaya dengan kata-kata lelaki tersebut, Amru meminta satu berhala yang bernama Hubal untuk dibawa pulang ke Makkah untuk dia jadikan sebagai bahan penyembaha. Sejak itu, mulanya sejarah hitam penyembahan berhala dalam kalangan masyarakat arab.

Pembahagian syirik dalam Islam
1.   Syirik secara terang-terangan (جلي)
Syirik ini adalah syirik yang jelas pada pandangan manusia yang mana kita boleh ukur melalui perbuatan seseorang. Contohnya penyembahan berhala,matahari dan lain-lain. Manakala dari segi pengakuan tentang syirik ini, ia dinilai secara zahir dan jatuh padanya hukum syirik. Tetapi ulama’ ada menyebutkan pengakuan ini boleh jadi syirik bagi manusia tetapi tidak bagi Allah kerana pengakuan tersebut mungkin disebabkan oleh faktor-faktor yang lain seperti diseksa, diancam dan sebagainya.
Oleh sebab itu segala perkara itu bergantung kepada niat seseorang itu atas setiap perbuatannya.  Melihat perbahasan yang lebih lanjut, sesetengah ulama’ berpendapat syirik ini merupakan yang paling bahaya dari syirik yang lain dan sesetengahnya tidak. Mengapa?
2.   Syirik secara tersembunyi (خفي)
Syirik ini adalah syirik secara tersembunyi yang mana zahirnya bagai air yang tenang namun hakikatnya ia lebih bahaya kerana tidak dapat dinilai oleh pandangan mata. Jika diukur dari sudut perbandingan, syirik secara terang yang boleh dilihat secara jelas dapat dicegah kerana terzahir pada manusia akan kefasadannya berlainan pula halnya dengan syirik yang tersembunyi. Tetapi dari segi hukumnya, syirik secara terang dosanya lebih berat berbanding syirik yang tersembunyi kerana membawa kufur kepada Allah.
Sebahagian ulama’ membahagikan syirik kecil ini kepada dua bahagian pula iaitu:
i-                    نفق :  syirik ini(nifaq) adalah bilamana seseorang itu mensyirikkan Allah tetapi  dia mengetahui bahawa dia telah mensyirikkan Allah cuma kadang-kadang terlalai dek arus dunia. Contoh syirik ini apabila seorang berasa riya’, u’jub, takabbur (sifat-sifat yang tidak elok yang membawa maksud bangga diri, menunjuk-nunjuk) dalam perkara baik yang telah dilakukan. Seseorang dapat mengenalpasti perasaan ini tetapi kekadang terlalai atau sengaja tidak mahu untuk mengatasinya. Orang yang melakukan perbuatan ini digelar munafiq(orang yang bepura-pura dalam kebaikan).

ii-                  سرائر :  syirik ini yang asalnya membawa maksud rahsia merupakan antara syirik yang paling bahaya kerana seseorang itu mensyirikkan Allah, namun dia tidak menyedari bahawasanya dia telah mensyirikkan Allah.
Ada tiga keadaan yang boleh menggambarkan jenis syirik ini iaitu:
-apabila seseorang mengharapkan sesuatu lebih dari pengharapannya kepada Allah
-apabila seseorang menyintai sesuatu lebih dari kecintaannya kepada Allah
-apabila seseorang takut kepada sesuatu lebih daripada takutnya kepada Allah

Realiti
Jika kita teliti semula dalam kehidupan kita, kita akan dapati sebenarnya syirik secara rahsia ini banyak berputar dalam kehidupan kita. Sebagai contoh, realiti pelajar sama ada di universiti atau dibangku sekolah lebih bergantung kepada pensyarah atau guru-guru untuk memperoleh kejayaan dalam peperiksaan berbanding usaha mereka dan penrgantungan kepada Allah.
Dalam bab cinta, tidak usah dipanjangkan cerita. Kita sendiri menjadi saksi, muda-mudi kita lebih menyintai pasangannya lebih daripada segalanya(dalam hal dunia), yang mana sepatutnya sepenuh cinta kepada Allahlah yang membawa seorang cinta pada pasangannya.
Bagi mereka yang bekerja makan gaji pula, apa yang disuruh oleh majikan walaupun melanggar syara’ semua dikerjakannya. Hal ini kerana kesan daripada takut jika rezekinya  (gaji bulanan) tersekat kerana keingkarannya melaksanakan suruhan majikan namun dia terlupa sebenarnya dia telah melanggar perintah ketua segala ‘majikan’.

Kesimpulan
Oleh itu akhir kata marilah sama-sama kita berdoa agar Allah menjauhkan kita daripada dosa syirik ini baik secara tersembunyi lebih-lebih lagi secara terang-terangan dengan doa yang diajar oleh nabi Muhammad S.A.W : 
اللهم إنّا نعوذ بك من أن نشرك بك شيئا نعلمه ونستغفرك لما لا نعلمه
 “Ya Allah kami berlindung daripada syirik kepadaMu dengan sesuatu perkara yang kami ketahui, dan kami memohon ampun kepada Mu daripada perkara yang tidak kami ketahui.”


#Just copy untuk pengetahuan umum...

No comments: